22 April 2024

JKKK digalak laksana projek pembangunan, naik taraf dalam sesebuah kawasan perkampungan


JKKK digalak laksana projek pembangunan, naik taraf dalam sesebuah kawasan perkampungan

Lo (kanan) melihat pelan projek bersama Biro Pembangunan JKKK Kampung Tematu Stephen Jepeng (kiri) dan Ketua Kaum Kampung Tematu Geofrey Tahang (tengah) di atas jambatan konkrit yang baharu di Lorong 2 Kampung Tematu hari ini.
Lo (kanan) melihat pelan projek bersama Biro Pembangunan JKKK Kampung Tematu Stephen Jepeng (kiri) dan Ketua Kaum Kampung Tematu Geofrey Tahang (tengah) di atas jambatan konkrit yang baharu di Lorong 2 Kampung Tematu hari ini.

BAU: Projek pembangunan dan naik taraf dalam sesebuah kawasan perkampungan mendapat galakan bagi dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang hari ini.

Beliau berkata demikian, berikutan kejayaan pembinaan projek RTP sebuah jambatan konkrit di Lorong 2 Kampung Tematu di sini yang telah dilaksanakan menggunakan kaedah tersebut.

"Dan saya ingin menggalakkan semua kampung di dalam kawasan saya untuk melakukan perkara yang sama. Modus operandi yang sama, kami akan menyediakan dana RTP.

"Jambatan ini dibina bagi menggantikan jambatan kayu yang telah usang berusia 20 tahun di sini. Selalunya digunakan oleh penduduk kampung bagi menjalankan aktiviti pertanian mereka.

"Bagaimanapun, saya melihat potensi selepas adanya jambatan konkrit bernilai RM70,000 ini maka lebih banyak sektor pertanian dalam kawasan tanah berkeluasan 1,500 ekar ini dijadikan kawasan penanaman padi," katanya.

Lo berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Projek RTP di Kampung Tematu, Off Jalan Batu Kitang kepada JKKK Kampung Tematu, pagi tadi.

Maka dengan itu, beliau turut mengusulkan kepada JKKK untuk memohon kepada Jabatan Pertanian Negeri Sarawak bagi pembinaan jalan pertanian sepanjang tiga kilometer.

Tujuannya adalah untuk memperkasakan sosioekonomi penduduk kampung bagi menjalankan aktiviti pertanian secara besar-besaran dan menyokong usaha kerajaan negeri agar Sarawak menjadi bakul makanan Malaysia.

"Kami akan melakukannya. Saya akan pergi bersama JKKK Kampung Tematu untuk berjumpa dengan Jabatan Pertanian bagi membina jalan-jalan pertanian untuk penduduk Kampung Tematu. 

"Dan saya berharap dengan tanah yang luas ini, Jabatan Pertanian juga akan membantu penduduk kampung yang berminat untuk penanaman padi. Saya percaya Kampung Tematu boleh melakukannya," tambahnya kemudian.

Projek pembinaan jalan pertanian sepanjang tiga kilometer itu memerlukan dana sekitar RM500,000.

Lo turut berjanji untuk memberi peruntukan tambahan bernilai RM200,000 kepada JKKK Kampung Tematu bagi melaksanakan beberapa projek RTP yang akan dilaksanakan secara bergotong-royong.

Menerusinya, JKKK Kampung Tematu akan menambah baik dewan, jalan perhubungan, longkang, jambatan dan tembok untuk menambah baik kemudahan infrastruktur bagi meningkatkan keselesaan hidup penduduk di sini.  

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/22/jkkk-digalak-laksana-projek-pembangunan-naik-taraf-dalam-sesebuah-kawasan-perkampungan

No comments:

Post a Comment