06 December 2023

DAP Sarawak patut memihak Sarawak, bukan Thailand – Lo Khere Chiang

DAP Sarawak patut memihak Sarawak, bukan Thailand – Lo Khere Chiang

Facebook
 
Twitter
 
WhatsApp
 
Telegram
E-mel
Lo Khere Chiang

KUCHING: Anda di pihak mana, Thailand atau Sarawak?

Itu soalan diajukan Lo Khere Chiang ke atas Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling yang tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Sarawak untuk tidak memperbaharui lesen pengedaran Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi oleh Syarikat MYGAZ Sdn. Bhd. di Sarawak.

Lo yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, menyifatkan dua pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu jelas menunjukkan mereka menyokong MYGAZ iaitu anak Syarikat SIAM Gas, yang merupakan sebuah syarikat pembekal LPG dari Thailand.

“Kira-kira 60 peratus daripada rizab gas Malaysia adalah dari Sarawak, jadi mengapa perlu mengutamakan memperbaharui lesen bersubsidi untuk MyGaz apabila syarikat gas milik Kerajaan Sarawak, PetrosNiaga boleh menyumbang lebih kepada dana Sarawak?

“PetrosNiaga yang menawarkan harga yang kompetitif, memastikan keuntungan kekal dalam Sarawak untuk manfaat rakyat Sarawak berbanding MyGaz yang keuntungan mengalir keluar dari negara kita ke Thailand,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Justeru, pemimpin dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu menegaskan agar Chong dan Oscar menggesa pemimpin mereka untuk memperuntukkan lebih banyak dana persekutuan kepada Sarawak, daripada secara konsisten membangkang keputusan Kerajaan Sarawak yang dilakukan demi rakyat Sarawak.

“Usaha mereka boleh ditujukan dengan lebih baik di parlimen untuk mendapatkan penambahan peruntukan bagi sektor penting seperti pendidikan, infrastruktur, penjagaan kesihatan dan tebatan banjir bagi Sarawak,” katanya.

Lo turut mempersoalkan sumbangan yang dilakukan oleh DAP Sarawak kepada Sarawak, yang kini sebahagian dalam sekutu Kerajaan Perpaduan.

Katanya, DAP Sarawak seharusnya memperjuangkan dan mengutamakan kemakmuran Sarawak, daripada sentiasa menembak, mencari kesalahan, membangkitkan sentimen dan memutar belit kebenaran semata-mata untuk mengekalkan relevansi sebagai pembangkang demi kelangsungan politik mereka.

Sebaliknya, beliau berkata DAP Sarawak hanya berdiam diri apabila Pulau Pinang dianugerahkan projek sistem Pengangkutan Aliran Ringan bernilai RM10 bilion yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

“Pulau Pinang terkenal dengan sistem pengangkutan yang maju dengan dua stesen kereta api utama, terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion serta landasan kereta api funikular yang mengagumkan.

“Kini mereka memulakan sistem Pengangkutan Aliran Ringan bernilai RM10 bilion manakala Sarawak tidak mempunyai satu pun kereta api bahkan LRT. Di manakah DAP Sarawak, ia tidak kelihatan seperti mereka menyebelahi Sarawak,” katanya.

https://suarasarawak.my/dap-sarawak-patut-memihak-sarawak-bukan-thailand-lo-khere-chiang/

No comments:

Post a Comment