Keupayaan Luar Biasa Premier Sarawak
RABU, 17 MEI 2023
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mempunyai keupayaan luar biasa dalam memimpin negeri ini ke arah kestabilan ekonomi dan politik.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang Ir Lo Khere Chiang, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah berjaya mengurus ekonomi negeri ini dan membawa kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM136 bilion pada 2019.
“Negeri ini telah menganggarkan KDNK sebanyak RM282 bilion menjelang 2030, sekali gus meletakkan kita sebagai negeri maju pada tahun tersebut.
“Dengan rancangan itu, sebanyak 195,000 pekerjaan akan diwujudkan dan pendapatan isi rumah boleh dinaikkan kepada RM15,047,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah beliau, Premier Sarawak juga telah memperuntukkan RM7 Juta bagi membina semula Taman Nelayan di Lubuk Buaya Taman Landeh yang bukan sahaja akan menarik pelancong tempatan malah juga pelancong luar seperti dari Brunei dan Singapura.
Selain itu ujarnya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga telah melaksanakan Skim Lanjutan Kampung Batu Kitang di Kampung Bunga Rampai yang telah berjaya memenuhi peningkatan keperluan perumahan penduduk dan membawa kegembiraan kepada mereka untuk memiliki rumah sendiri. -EDISI UK
No comments:
Post a Comment