Isu kanak-kanak tanpa sijil lahir perlu dikaji
2018-07-15
2018-07-15
KOTA KINABALU: Gesaan Sarawak supaya kerajaan persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu perlu dikaji, termasuk dari sudut implikasi perundangan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.
Beliau berkata perkara tersebut perlu dibincangkan dan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat kerana berkemungkinan akan ada implikasi tertentu, termasuk melibatkan perubahan akta atau undang-undang sekiranya gesaan berkenaan ditunaikan.
“Permintaan mereka (Sarawak) ini, insya-Allah di peringkat kementerian perlu dikaji kerana sebagaimana kita tahu dalam Perjanjian Malaysia 1963, ada kuasa-kuasa tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
“Bagaimanapun, yang pastinya, jika Sarawak minta (kuasa diserahkan kepada kerajaan negeri menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak- kanak), saya fikir Sabah pun pasti akan minta (perkara sama),” katanya kepada pemberita pada Program Turun Padang di Pasar Manggatal di sini, semalam.
Mohd Azis berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung gesaan berkenaan yang disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang Lo Khere Chiang dalam sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Khamis lalu.
Lo menggesa kerajaan persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa sijil kelahiran di negeri itu memandangkan angka ketiadaan sijil lahir yang dikeluarkan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak negeri pada awal tahun ini cukup membimbangkan.
Mengenai program itu, Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, program gotong-royong selama tiga hari itu antara lain bertujuan memberi
kesedaran kepada para peniaga pasar berkenaan serta masyarakat setempat supaya sentiasa mengutamakan kebersihan kawasan sekitar.
Beliau berkata lebih 200 anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu menyertai aktiviti gotong-royong yang bermula seawal jam 6 pagi semalam.
Program gotong-royong seumpama itu akan diperluas ke daerah lain ke arah mendidik masyarakat sentiasa menjaga kebersihan persekitaran, katanya. — Bernama
Kategory Sabah (/sabah)
Beliau berkata lebih 200 anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia, dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu menyertai aktiviti gotong-royong yang bermula seawal jam 6 pagi semalam.
Program gotong-royong seumpama itu akan diperluas ke daerah lain ke arah mendidik masyarakat sentiasa menjaga kebersihan persekitaran, katanya. — Bernama
Kategory Sabah (/sabah)
https://www.utusanborneo.com.my/2018/07/15/isu-kanak-kanak-tanpa-sijil-lahir-perlu-dikaji
No comments:
Post a Comment